Penyalahgunaan teknologi maklumat (IT)


1)Bentuk kolonialisme baru dunia

Globalisasi merupakan satu proses meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit. Sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber.  Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Kamus Dewan, “globalisasi” didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia semakin mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Perkembangan-perkembangan terbaru yang berlaku seperti globalisme, era teknologi maklumat, kapitalisme, dan liberalisme memberi kesan yang amat besar terhadap kemerdekaan. Kolonial baru dan tatacara baru dunia merupakan rancangan kuasa Barat untuk menakluki semual kebebasan yang telah dicapai oleh negara-negara membangun. Globalisasi telah meluaskan lagi pengaruh kolonialisme baru terhadap negara-negara membangun. Negara membangun yang masih lemah dari segi teknologi maklumat tidak dapat menyekat perkembangan teknologi maklumat yang mengancam kemerdekaan yang dicapai. Globalisasi merintis gelombang perubahan baru dunia yang mengukuhkan lagi asas ideologi tatacara percaturan baru dunia. Penjajahan bentuk baru, khususnya melalui internet terhadap negara membangun merupakan agenda politik yang mengancam kemerdekaan negara membangun.

Di samping itu, dengan runtuhnya beberapa ideologi politik dunia yang sangat berpengaruh seperti komunisme, dan sosialisme adalah dipercayai bahawa percaturan adalah dipercayai bahawa percaturan politik tatacara baru akan mengancam kemerdekaan negara-negara membangun. Usaha bagi membawa demokrasi ala-Barat menimbulkan masalah di negara membangun kerana keadaan politik dan sistem sosial di negara membangun adalah amat berbeza dengan negara-negara Barat.

2)Penyebaran Bahan-bahan negatif

Tetapi, sebagai jaringan bebas yang berupaya menyelusup ke mana-mana sahaja tanpa sebarang batas dan sempadan, internet juga adalah kilang segala “sampah-sarap yang boleh meracuni minda pengguna, terutama para remaja. Ada sekian banyak laman-laman web yang mendedahkan bahan-bahan negatif termasuk propaganda mengenai fahaman-fahaman tertentu, penghinaan terhadap agama, unsur-unsur yang bercanggah dengan budaya kesopanan kita, dan berbagai-bagai bentuk kelucahan.

Malah, sejak kebelakangan ini internet telah digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah, khbar-khabar angin, gosip-gosip dan berita-berita palsu. Sesetengah bahan negatif yang disebarkan itu memang mendatangkan kesan buruk. Sebagai contoh, apabila ada khabar angin kononnya akan terjadi rusuhan di Chow Kit, orang ramai menjadi gempar dan menyerbu pasar raya untuk membeli makanan. Berita palsu yang dihebohkan itu amat berkesan untuk menimbulkan suasana kelam kabut dan mengelirukan masyarakat sehingga memaksa pihak polis bertindak pantas dengan menangkap dua orang yang disyaki terbabit dalam penyebaran berita berkenaan.

Pegawai Unicef, berkata begitu enjin pencarian internet yang berkaitan dengan seks seperti Google, berjaya mencatat 450,000 pengguna pada tahun ini. Bilik sembang IRC merupakan pintu masuk utama kepada pengguna mencari pornografi gadis.

3)Pengaruh negatif kepada remaja

Menyebut tentang genarasi muda, kita boleh kategorikannya sebagia belia, pelajar, dan remaja atau mengukur dari segi umur iaitu mereka yang berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah paling tepat untuk menggambarkan keseluruhan generasi muda. Merekalah harapan negara, penuh dengan cita-cita, keazaman, kecergasan, serta ketajaman minda dalam mengendalikan sesuatu isu.

Rangkaian internet nampaknya begitu kompleks sekali untuk difahami kerana memiliki komponen-komponen mikro yang tidak biasa. World Wide Web (WWW) merupakan komponen yang paling mudah diidentifikasikan. Isi kandungan dalam muka surat Web ini senang didapati oleh peneroka kerana direka cipta khas dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Basic (Basic Programme Language).

Selain itu, cara mudah untuk mengenal pasti internet ialah melalui seksyen surat elektronik (E-mel), iaitu satu wadah komunikasi yang membolehkan dua pihak berkomunikasi. Selain itu, internet juga menyediakan seksyen yang menarik iaitu borak melalui internet, IRC (Internet Relay Chat), yang membolehkan beribu-ribu pengguna internet sedunia berborak, berbincang, dan bertukar idea pada masa yang sama. Atau Gopher yang fungsinya menyerupai fungsi WWW, tetapi rangkaian ini lebih tertumpu kepada bahan-bahan akademik, dan protokol Penukaran yang membolehkan dokumen-dokumen dihantar dari sebuah komputer ke komputer yang lain.

Ini menyebabkan masalah pelayaran laman web yang berunsur pornografi semakin serius di kalangan remeja. Gambar-gambar pornografi di internet senang dicari dan tanpa pengetahuan orang lain. Dengan hanya klik tetikus sahaja mereka boleh mendapat sumber pornografi yang banyak. Hal ini menyebabkan mereka semakin ketagihan terhadap pencarian gambar pornografi di internet seterusnya berlakunya gejala-gelaja sosial seperti pergaulan bebas, bohsia, pembuangan bayi, lari dari rumah dan kes-kes jenayah.

Di samping itu, terdapat Usenet iaitu rangkaian berita yang berfungsi sejajar dengan internet. Dalam Usenet, terdapat pelbagai kumpulan berita (newsgroup) yang mengendalikan pelbgai topik perbincangan atau berita terkini. Para pengguna Usenet dapat memberi pandangan mereka melalui artikel atau surat elektronik, dan arkitel-artikel ini dikirim kepada bilangan yang ramai agar penerima dapat membaca dan memberi maklum balas kepada kumpulan berita tersebut.  Sebenarnya Newgroup ini senang ditubuhkan kerana banyak Newgroup yang kontroversi di jalinan siber. Kajian oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) turut mendapati terlalu banyak pengguna Internet, terutama kalangan remaja, membuang masa berjam-jam di kafe siber untuk bersembang menerusi laman perbualan berunsur lucah dan memberahikan.

Golongan remaja tidak memanfaatkan internet untuk mengumpul maklumat terkini dan penting. Sebaliknya, kebanyakan mereka gemar berkomunikasi melalui laman borak atau lebih dikenali sebagai chit-chatting dengan pengguna-pengguna internet dari seluruh dunia dengan menggunakan “Bahasa Ganjil”. Fenomena ini bertambah serius apabila golongan tersebut gemar berkomunikasi dengan cara menaip Bahasa Inggeris atau bahasa lain yang tidak tulen. Sebagai contoh, “Don’t know” ditaip sebagai “donno”.

Kolonialisme baru boleh berlaku terhadap masyarakat Malaysia melalui imperalisme budaya seperti mementingkan penggunaan bahasa dunia atau bahasa barat (seeprti bahasa Inggeris), pendidikan Barat, teknologi, gaya hidup ala-Barat, pandangan hidup mengikut perspektif Barat, dan sebagainya.

Imperialisme budaya juga menguasai aspek ekonomi. Antara bentuk penjajahan ialah penonjolan produk yang berjenama hebat. Di samping itu, cara hidup masyarakat Barat menjadi tiruan dan ikutan golongan muda di negara membangun. Imperialisme budaya Barat terhadap budaya masyarakat negara membangun menjadikan masyarakat negara membangun berasa rendah diri dan berada dalam dilema.

4)Ancaman terhadap pengguna teknologi maklumat

Antara ancaman yang dihadapi oleh pengguna teknologi maklumat ialah fenomena penggodam komputer atau ‘hackers’. Penggodam komputer ditakrifkan sebagai orang yang boleh mendatangkan ancaman kepada komputer dan sistem rangkaian. Mereka cuba menyalahgunakan kemudahan ini untuk kepentingan mereka. Namun terdapat juga golongan penggodam komputer yang hanya menjalankan aktiviti pencerobohan maklumat peribadi atau serangan virus sebagai salah satu keseronokan dan hobi semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk yang dihadapi kelak. Mereka suka menceroboh sistem rangkaian komputer, mencuri maklumat atau data penting dan menghantar kod jahat atau virus bagi mengganggu sistem rangkaian komputer lain seterusnya menyebabkan kerosakan teruk.

Sesetengah penggodam komputer menceroboh sistem rangkaian komputer untuk meniru atau mencuri data. Ini terbukti kerana menurut satu laporan, terdapat seorang pelajar kolej di Texas telah dikenakan undang-undang setelah terlibat dalam aktiviti menggodam dengan menceroboh sistem komputer Texas untuk mencuri maklumat peribadi pelajar, fakulti dan kakitangan dari universiti berkenaan. Oleh itu benarlah teknologi maklumat internet menghadapi ancaman daripada pihak penggodam.

Selain itu, kelebihan teknologi maklumat kini juga telah diperalatkan dengan mudah oleh pengganas dan juga kartel dadah. Mereka telah menyalahgunakan kelebihan teknologi maklumat untuk menjalankan kegiatan gelap. Seperti yang kita ketahui, zaman maklumat semakin menghapuskan zaman perindustrian dan zaman pertanian manakala globalisasi pula menerobos ke setiap pelosok dunia, sedangkan sistem penapisan dan perlindungan keselamatan masih lumpuh sama sekali. Ini terbukti apabila seseorang pembekal dadah menggunakan sistem rangkaian internet untuk berurusan dengan pengedar dadah lain untuk mengadakan pertemuan melalui kod-kod rahsia. Jadi, keadaan ini sudah tentu tidak dapat dihalang oleh pihak berkuasa kerana mereka tidak dapat mengenalpasti tempat perjumpaan tersebut secara tepat.  Justeru, keselamatan zaman maklumat masih lagi diragui lantaran wujudnya aktiviti-aktiviti tanpa sempadan ini yang boleh menggugat sistem keselamatan.

Di samping itu, teknologi maklumat kini telah dieksploit dengan begitu rakus bagi mencapai pelbagai tujuan. Teknologi ini telah digunakan untuk melaksanakan pelbagai jenayah tradisional seperti memeras ugut, menipu, menyebarkan bahan lucah dan juga mencuri nombor kad kredit. Ini amat menyedihkan kerana teknologi maklunat yang dibangunkan bersama arus kemodenan boleh menggugat keselamatan para pengguna. Sebenarnya masyarakat kita semakin bergantung kepada komputer dan sistem rangkaian sebagaimana kita bergantung kepada keperluan asas iaitu bekalan air dan elektrik. Oleh yang demikian, semua pengguna hendaklah mempunyai kesedaran dan kefahaman yang mendalam tentang isu keselamatan dan keperluan untuk membangunkan perlindungan keselamatan. Maka terbukti bahawa ancaman teknologi maklumat ialah pengeksploitasian daripada pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

Seterusnya teknologi maklumat juga terdedah kepada ancaman virus. Virus sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud racun. Bersesuaian dengan maksudnya, virus telah dicipta untuk melindungi fail-fail daripada dicerobohi. Namun kini virus telah disalahgunakan dengan tujuan untuk mengganggu sistem rangkaian komputer dan meniru hak ciptaan orang lain. Selain itu, virus juga dicipta untuk mengelakkan penjiplakan. Apabila virus menyerang komputer, kita dapat melihat saiz sesebuah fail itu bertambah besar, berlaku perubahan tarikh walaupun fail itu tidak digunakan dan komputer menjadi lambat beroperasi. Disket juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah cepat rosak atau tidak dapat dibaca langsung. Pengaturcaraan komputer juga tidak dapat berfungsi seperti biasa. Masalah ini sememangnya memberikan kesan buruk kepada para pengguna. Sebenarnya virus boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori berdasarkan cara jangkitan dan cara merosakkan sistem fail dalam sesebuah komputer. Virus jenis ‘Logic Bomb’ ini dipercayai mungkin berupa tarikh virus itu diaktifkan. Oleh itu terbuktilah bahawa teknologi maklumat juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman virus.

5)Penapisan Maklumat Siber yang sukar

Kini, kebanyakan kerajaan moden turut melaksanakan dasar mengawal dan menapis segala maklumat yang boleh dianggap boleh mendatangkan kesan buruk. Lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba canggih ini, muncul pelbagai perantaraan yang boleh menjadi ajen baru penyebaran maklumat. Antara yang hangat diperkatakan ketika ini iaitu penyebaran maklumat melalui dunia siber atau internet. Walaupun kebanyakan kerajaan telah pun mempunyai dasar untuk mengawal maklumat yang boleh merugikan, namun kawalan maklumat dalam dunia siber masih sukar untuk dilaksanakan.

Oleh sebab itu, penapisan terhadap internet bukanlah suatu yang mudah memandangkan pertumbuhan bilangan pengguna yang menyertai industri ini setiap hari.  Penggunaan internet yang pada mulanya hanyalah untuk strategi ketenteraan, kini telah berkembang sebagai satu rangkaian yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan dan telah dihubungkan dengan lebih tiga juta buah komputer di seluruh dunia. Jika penggunaan internet masa dahulu adalah terhad dan serius, namun kini berlaku sebaliknya kerana internet boleh disifatkan sebagai satu hiburan baru.

Walaupun komunikasi seumpama ini kini fenomena yang biasa, tetapi disebabkan ketiadaan lokasi fizikal menyukarkan pihak berkuasa menjalankan dakwaan terhadap pencabulan yang berlaku. Selain itu, identiti seseorang seperti nama, usia, jantina juga sukar dikesan kerana ‘ketiadaan nama’ dalam penggunaan internet. Sedangkan penyebaran bahan-bahan lucah atau bahan-bahan yang diharamkan dalam perbualan, ataupun bahan-bahan yang sensitif sehingga boleh menimbulkan suasana tidak tenteram sangat mudah dilakukan melalui medium ini.

Selain itu, internet juga tidak mempunyai badan-badan penapis yang rasmi, tiada lembaga pengarah, tidak dimiliki oleh ekuiti tertentu. Medium ini terbuka luas untuk diterokai oleh sesiapa sahaja. Dalam hal ini penapis utamanya adalah hati nurani pengguna itu sendiri.

Memandangkan internet tidak mempunyai “autoriti pusat” sebab itu sukar untuk merealisasikan usaha penapisan internet. Dalam perspektif yang lain pula, internet kononnya memberi potensi kepada “demokrasi sebenar”.

Kebebasan bersuara di rangkaian internet juga bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa. Negara China sebagai contohnya, cuba mengawal setiap ekspresi politik atas sebab keselamatan negara dan ketenteraman sosio masyarakat. Setiap pengguna lebuh raya internet dan e-mel mesti mendaftarkan diri kepada pihak berkuasa agar pihak berkuasa dapat mengawas aktiviti-aktiviti para pengguna internet. Manakala di United Kingdom pula, artikel-artikel sensasi mengenai rahsia kerajaan atau serangan peribadi adalah antara batasan dan isu sensasi untuk dibincangkan, diterbitkan, dan dipaparkan.
Nampaknya pihak-pihak berkuasa di dunia berusaha menguatkuasakan penapisan terhadap penggunaan internet ini. Bagaimanapun pihak-pihak berkuasa nyata menghadapi pelbagai masalah dan rintangan yang kompleks terutama untuk menyemak bahan dalam sistem yang luas tanpa sempadan itu. Adalah hampir mustahil bagi pihak berkuasa menyemak setiap surat elektronik yang dihantar atau diterima, meneliti setiap artikel yang disediakan oleh setiap Newsgroups, mengklasifikasikan setiap webpages, dan berborak dalam setiap rangkaian IRC, kemudiannya melawat setiap tapak Gopher, ataupun mengawal setiap program FPT. Selain menelan belanja yang banyak, pekerjaan ini dianggap membuang masa.
Walaupun usaha-usaha telah diambil untuk menapis medium ini, tetapi nampaknya usaha tersebut masih menemui jalan buntu apabila tiada undang-undang berkaitan yang boleh mendakwa pihak yang menyalahgunakan medium ini. Tambahan pula, undang-undang komunikasi antara satu negara dengan negara adalah berbeza. Di samping itu undang-undang sesebuah negara tidak dapat diaplikasikan di negara lain kerana masing-masing mempunyai kedaulatan yang perlu dihormati. Oleh sebab itu, internet dianggap sebagai salah satu media penyebaran baru yang unik, dan berkesan walaupun kedudukannya sebagai media masih dalam perdebatan.

Internet adalah rangkaian antarabangsa. Justeru, seseorang dengan mudah boleh menyalin dokumen-dokumen, gambar-gambar lucah dari negara lain walaupun gambar yang disalin itu diharamkan di negara mereka. Dalam situasi begini timbul perdebatan di manakah pendakwaan akan dilakukan. Di negara asal artikel atau gambar lucah tersebut atau di tempat gambar atau artikel tersebut disalin dan diterima?

Bahan-bahan yang menyakitkan mata ini bagaikan zarah-zarah yang melantun di dunia galaksi siber. Namun tiada siapa yang tahu ke mana zarah –zarah tersebut akan bergerak. Oleh yang demikian, tanpa satu badan penapis dan penguatkuasa pusat, maklumat-maklumat seperti itu akan terus bergerak lancar tanpa halangan untuk mencari mangsa dalam lebuh raya siber.

Seperti yang disebut sebelum ini, internet adalah satu alam nyata yang penuh misteri. Adalah sukar untuk mengidentifikasikan umur, jantina, raut rupa, ketinggian, berat badan, dan lain-lain bentuk fizikal penggunanya. Jadi sukar untuk mengesan bahawa seseorang itu telah melawat tapak haram, atau menyalahgunakan hak menyelongkar sesuatu maklumat. Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang memalsukan identiti tapak lucah di internet walaupun telah diberi amaran.

Kebebasan tanpa batasan undang kemudaratan

Pendapat
LEWAT zaman yang canggih dan serba moden ini, langkah kerajaan menggubal akta-akta baru terutamanya yang melibatkan media dan teknologi maklumat tidak boleh dipertikaikan.

Seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, penggubalan akta seumpama itu merupakan satu bentuk peraturan yang harus dilaksana bagi menjayakan aspirasi serta cita-cita negara dan masyarakat.

Secara logiknya mana mungkin sesuatu pembaharuan terutamanya yang berkaitan dengan media dan teknologi maklumat dipandang remeh.

Sesebuah negara hanya boleh diklasifikasikan sebagai bertamadun hasil daripada terciptanya undang-undang dan peraturan yang membataskan sesuatu perkara daripada disalahgunakan.

Senario yang sama perlu kepada media dan teknologi kerana adakalanya kedua-dua medium ini sering disalahgunakan oleh sesetengah pihak.

Kita perlu memandang serius perkara ini kerana kajian jelas menunjukkan keyakinan pelbagai pihak mengenai besarnya kuasa media dan teknologi maklumat kepada penduduk di sesebuah negara.

Amerika Syarikat sendiri menganggap kuasa media adalah yang paling besar sehingga boleh menjatuhkan kerajaan yang memerintah negara itu sendiri.

Oleh sebab itu, penyalahgunaan kuasa oleh media serta dibantu oleh kemudahan teknologi yang tiada batasnya sebenarnya mampu memberikan impak yang positif mahupun negatif kepada masyarakat setempat.

Bukan tidak pernah timbul isu-isu penyalahgunaan media dan teknologi seperti Internet misalnya. Malangnya kesalahan seumpama itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja kerana tiada akta yang membenarkan pelakunya dikenakan tindakan.

Apakah kita perlu menunggu timbulnya isu-isu lain akibat penyalahgunaan media dan teknologi maklumat untuk kita berasa menyesal kerana tidak memperkenalkan akta yang berkaitan sebelum ini.

Memprotes sesuatu yang baru adalah suatu perkara yang lazim terjadi kerana manusia ciptaan Tuhan tidak akan menerima dengan pembaharuan secara mengejut.

Namun, dengan kematangan fikiran yang sepatutnya seiring dengan kemajuan media dan teknologi ciptaan manusia sendiri, pertikaian tidak sepatutnya timbul malah sepatutnya disokong dengan idea-idea dan cadangan yang bernas bagi memastikan keberkesanan penggubalan akta-akta baru tersebut.

Dari sudut lain, ia akan mengurangkan lagi jenayah yang berbentuk ‘moden’ ini. Kerana itu, akta-akta ‘moden’ juga perlu untuk memastikan wujudnya keseimbangan pada ruang tanpa batasan ini.

Dengan itu manusia akan lebih bijak dan peka dengan batas kebebasan dan tidak menyalahgunakan kebebasan tersebut.

Mesej penggubalan akta ini tidak harus dikaitkan dengan kebebasan media dalam menyampaikan maklumat yang sering digembar-gemburkan.

Kewujudan akta-akta ini hanyalah sebagai pengawal dalam kebebasan media dan teknologi yang sebelum ini bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan baik buruk akibatnya di kemudian hari.

Pun begitu, untuk memboikot atau mensabotaj sesebuah media atau penggunaan teknologi juga bukanlah satu idea yang bijak dalam menangani isu penyalahgunaan ini. Justeru, adalah paling baik jika adanya akta-akta ini sebagai garis panduan dan ingatan kepada semua pihak.

Malah, langkah mengemas kini akta-akta tersebut juga perlu dibuat dari semasa ke semasa sejajar dengan perubahan yang berlaku.

Hanya dengan cara itu matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju yang masyarakatnya tidak dikongkong oleh pegangan lapuk dapat dicapai.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

3 Responses to Penyalahgunaan teknologi maklumat (IT)

  1. Tahniah. teruskan mengeblog……

  2. ben hasim says:

    Syukran, boleh juga dibuat assignment berpandu kepada artikel diatas

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s