Pengenalan Ilmu Kaedah Feqah


Ilmu tentang ‘Kaedah-kaedah Feqah’ adalah satu bidang penting dalam ilmu syarak. Maka wajar bagi penuntut ilmu menguasai sekurang-kurangnya asas penting dan beberapa kaedah utama daripadanya. Sebagai pendahuluan, mari kita berkenalan dengan asas ilmu Kaedah Feqah. Saya akan ringkaskan dalam beberapa tajuk.

1. Definisi Kaedah-kaedah Feqah.
Ia boleh ditakrifkan sebagai: ‘Hukum syarak secara keseluruhan yang merangkumi di bawahnya masalah-masalah furuk feqah’.
Difahami daripada definisi ini bahawa ia mestilah bersifat umum atau menyeluruh. Tetapi kebiasaannya, dalam satu-satu kaedah ada masalah-masalah yang dikecualikan.

2. Perbezaan antara ‘Kaedah Feqah’ dan ‘Kaedah Usul’.
Kaedah Usul ialah kaedah-kaedah umum yang terhasil daripada ilmu usul feqah. Contohnya, kaedah ‘Setiap perintah membawa hukum wajib’, dan kaedah ‘Setiap larangan membawa hukum haram’.
Perbezaan ketara antara kaedah feqah dan kaedah usul ialah:
i- Kaedah Usul lahir daripada ilmu usul feqah dan penggunaan tatabahasa Arab serta kaedah-kaedahnya. Manakala Kaedah Feqah lahir daripada masalah-masalah furuk feqah, yang dilihat ada persamaan antara satu sama lain.
ii- Kaedah Usul digunakan oleh mujtahid untuk istinbat hukum feqah. Manakala Kaedah Feqah digunakan oleh orang alim atau penuntut ilmu untuk memudahkan hafalan masalah-masalah feqah mengikut kaedah.
iii- Kaedah Usul adalah hukum am yang menyeluruh, manakala Kaedah Feqah kebanyakannya tidak menyeluruh dan ada pengecualian.
iv- Kaedah Usul adalah alat mengeluarkan hukum, maka ia digunakan sebelum keluar hukum feqah. Manakala Kaedah Feqah adalah kaedah yang menghimpun masalah-masalah feqah, dan ia lahir selepas adanya hukum feqah.

3. Kepentingan Menguasai Ilmu Kaedah Feqah
Tidak diragukan bahawa ilmu ini salah satu cabang ilmu syarak, dan sudah dimaklumi betapa pentingnya mempelajari ilmu syarak. Secara khusus, ilmu ini mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu:
i- Penguasaan kepada seluruh furuk feqah mungkin satu perkara mustahil bagi seseorang. Dari sini, ilmu Kaedah Feqah berperanan membantu menghimpunkan pelbagai furuk yang sama jenis di bawah satu kaedah. Ia akan memudahkan hafalan.
ii- Ilmu Kaedah Feqah berperanan memperkukuhkan penguasaan dan kemahiran feqah seseorang. Ia dapat digunakan untuk menyelesaikan pelbagai persoalan cabang feqah yang timbul. Iaitu dengan membandingkan masalah yang timbul dengan masalah-masalah yang serupa di bawah satu kaedah.
iii- Ilmu ini membantu memahamkan seseorang penuntut tentang maqasid syar’iyyah (objektif syariat), kerana kebanyakan kaedah-kaedah feqah disusun bertepatan dengan objektif syarak seperti kaedah ‘Kesukaran membawa kepada kemudahan’.

4. Sejarah dan Perkembangan Ilmu Kaedah-kaedah Feqah
i- Era Kenabian

Ilmu Kaedah Feqah lahir sejak era kenabian lagi. Rasulullah SAW diberikan kelebihan ‘jawamik al-kalim’ iaitu tutur katanya ringkas, padat dan memberi makna yang luas. Banyak kata-kata baginda dijadikan kaedah am contohnya:
– Hadis “Setiap amalan hendaklah dengan niat”.
– Hadis “Sesiapa melakukan amalan yang bukan daripada urusan kami maka ia ditolak”.

ii- Era Sahabat
Pada zaman sahabat, ilmu Kaedah Feqah semakin berkembang. Didapati daripada kata-kata sesetengah sahabat ucapan-ucapan yang memberikan hukum am atau kaedah umum. Contohnya:
– Ibnu Abbas r.a. berkata: “Setiap yang disebut dalam Quran ada kalimah ‘atau’ maka ia memberi maksud pilihan. Dan setiap yang disebut ‘Jika kamu tidak mendapatinya’, maka ia memberi erti hendaklah dilakukan secara susunan”.
– Umar r.a. berkata: “Hukum ini berdasarkan apa yang kami putuskan (sekarang), dan hukum dahulu itu adalah apa yang telah kami putuskan dahulu”. Beliau merujuk kepada ijtihad tidak dibatalkan dengan ijtihad.
– Umar r.a. berkata: “Penyelesaian terhadap hak-hak mestilah dirujuk kepada syarat-syarat yang dimeterai”.
Dan banyak lagi kaedah-kaedah lain yang bersumberkan kepada atsar-atsar sahabat.

iii- Era Tabieen
Antara contoh atsar tabieen yang dijadikan kaedah ialah:
– Kata Syuraih Al-Qadhi: “Sesiapa meletakkan syarat ke atas dirinya secara sukarela tanpa dipaksa, maka dia betanggungjawab ke atasnya”.

iv- Era Fuqaha Salaf
Di samping kaedah-kaedah feqah yang diambil daripada hadis, atsar sahabat dan tabieen, perkembangan ilmu ini menyaksikan tokoh-tokoh fuqaha selepas mereka mengeluarkan banyak lagi kaedah-kaedah feqah. Ia selari dengan perkembangan ilmu feqah yang semakin gemilang pada era imam-imam empat mazhab.
Sebagai contoh,
– Muhammad bin Al-Hasan berkata: “Setiap perkara yang makruh dimakan dan makruh digunakan, maka makruh juga membeli dan menjualnya”.
– Imam Syafie berkata: “Tidak dinisbahkan satu kata-kata kepada orang yang diam”.
– Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Setiap benda yang harus dijual beli, maka harus dijadikan pemberian, sedekah, dan cagaran”.
Demikian serba ringkas sejarah timbulnya ilmu Kaedah Feqah sejak zaman kenabian sehingga zaman imam-imam mazhab yang empat.

About these ads
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s